Sajak - Mata-mata Bernata Berhati

(Untuk semua anggota polis)

Mata-mata Bernata Berhati

Dinihari jasadmu terkujur
Terbujur kaku terperosok  di bawah kereta sasa
Mendingin sedingin subuh Ramadan nan bening
Pergi pasti tak kembali menjadi sejarah PKP
Secebis segmen tragis pasti dilupai ditelan waktu
Kamu wira yang tidak didendangkan, ditalunkan
Wira barisan hadapan yang akan dilupakan
Di perbatasan yang tiada sempadan
Kerana itu sekelumit peristiwa yang tidak gah
Tiada panji-panji separuh tiang
Kerana kamu  bukan tokoh
Kerana kamu bukan individu hebat
Bukan selebriti bukan taikun konglomerat
'Hebat lagi pencandat alkohol bermadat'
Yang diberi sengat untuk menyengat
Yang mungkin menang di batas perundangan

Sesetengah mereka itu hanya tahu menggerutu
Dengan sudut mata pandang sinikal berbulu
Kerana kaca mata mereka kelabu
Seolah kotak fikir mereka dungu
Membuat kesimpulan dari kalbu ungu
....Pak polis dianggap begitu
....Pak polis itu anjing, hantu
....samseng berlesen  dan makan suap
....dianggap hina bagai anjing kurap

Yang bersengkang mata
Yang bermandi keringat
Yang siang dan malam dalam iklim stress
Yang diherdik dihina oleh bos
                                      oleh rakyat biasa
Diludah...

Mencari  secangkir rezeki
dalam lingkungan dilema

Akhirnya terbujur lesu kaku di situ
Biar pingat dan bintang jasa bakti
untuk taikun di kantor berhawa dingin
untuk artis sensasi penuh kontroversi

Uniform dua calit lusuh
di gerobok dalam dua dekad 
Meratib pemergianmu

Biar dunia mencatur menghukum
kerana Tuhan lagi Maha Bijaksana

ABi
3.5.2020
TDI

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang