Sajak - Bicara Sensitif

 Bicara Sensitif


Lahap nafsu di hamparan hati rakyat

Lahap makan di talam marhaen masyarakat

Melahap minum di cangkir komuniti


Sikap pelahap kian mengejap

Nafsu pelahap kian menyirap

Gunungan menjadi rata melandai

Timbunan menjadi kawah lahar

Limpahan bertukar kontang kekeringan


Erti lapar hilang di kamus minda

Maksud kesusahan tiada di kotak jiwa


Di caruk Pak Ngah Awang menyauk udang

Kerana sekerapnya tiada harga

Di permatang Pak Teh Daud meramu keman

Kerana padi yang ada cukup-cukup makan

Di hujung bandar Vellu mengutip tin minuman

Kerana gaji jaga tak cukup untuk sewaan


Tapi bicara pak menteri...

Katanya rakyat sekarang selesa

Naiklah harga tenaga, harga segala

Maka naik harga nada suara

Kerana lupa harga sengsara

Kerana tilam peraduannya empuk

Dilapik kertas ringgit baldu gajinya

Lampu neon menghiasi istananya

Lembut anjal alas singgahsananya

Hasilnya lupa janji lupa diri

Manifesto terjeruk di bingkai retorik


Demi negara yang tercinta

Kucurahkan bakti setia

Menjadi sisa di lidah pendusta

Akal mantik hilang di selimut materialistik 

Kerana diangkat punya pangkat

Kerana disua punya daya berkuasa


Rakyat jelata daulatnya bermusim

Tika beratur sabar di kotak undi sakti

Derita diberi sama rata 

dan bahagia sama rasa

Atas nama hak rakyat dijaga 

Berkumandang di angkasa raya

Acap kali tika tiba penggal pilihan raya 

Janji manis di bibir cuma

Di tenggorok juga...


Tiba-tiba rakyat dikata malas bekerja

Melayu tak punya minda kelas pertama

Sikap kelaku tahap ketiga


Yang hairannya

Yang merayap ke sini sana

Mengusung menghantar COD itu siapa?

Berjejer di pinggir jalan desa dan kota

Nasi lemak, pisang goreng itu siapa?

Pelbagai runcit serba neka itu siapa?

Mengapa dihina?

Atau cabaran penaik semangat bangsa..

Jika terus-terusan dimomok hati jadi luka..


Bagaimana pula pimpinan bangsawan negara

Jika dikata merompak harta negara

Berdekad-dekad lama 

atau yang baru berjinak dengannya

Bolehkah diseumpamanya?

Atau rakyat marhaen salah terka


ABI

Lorong Kulit

15.6.2020

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang