Sajak - Melah Tonggek

 Melah Tonggek


Jalannya tertonggek-tonggek

Gadis sunti tergedik-gedik getik

Mengada-ngada pelik

Hingus meleleh sampai ke bibir

Berbaur aiskrim Malaysia dinyonyot

Kekadang dilap direlas sepanjang lengan

Geli...


Rambutnya sergum berpintal keriting

kusut masai bagai dawai bepintal-pintal

Berbau hanyir hapak bergumpal

Mandi kerbau di tali air depan rumah

Berkemban terjun menyelam terkinja-kinja

Terkekeh-kekeh ketawa bagai mengilai


Itu Ramlah dua puluh tahun dahulu

Kini dia di gedung tinggi kota raya

Peneraju syarikat gergasi berjaya

Tonggeknya sudah tak nampak, tidak jelak

Bertudung labuh terlitup letak

Jalannya santun raut putih melepak

Lesung pipit kiri kanan ayu terletak

Tutur kata lembut berakhlak

Punya pacar dari hulu Perak


Melah tak lupa ibu bapa

Tak lupa kubang dan paya

Tahu usul asalnya Kampung Bukit Raya

Sudah pindah ke Kota Damansara

Punya rumah, punya kereta.


ABI

Penghulu Him

17.6.2020

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang