Sajak - Syair Ibu Ayah Di Kaki Gunung

 Syair Ibu Ayah Di Kaki Gunung


Ibu tahu Aidil Fitri kali ini sunyi

Tapi ibu tetap membalut daun palas

Masih juga memilih beras pulut yang bernas

Kelapa terbaik dikupas-kupas


Ayah tahu raya kali ini sepi

Tapi ayah masih mencari kayu api

Masih sedia tungku untuk mengacau dodol

Kuali besar diminyakkan baik-baik


Ibu tetap mencari daun kunyit subur

Rempah ratus siap sedia dibeli di pekan

Ayam dan daging sudah dibersihkan

Masih mahu sediakan rendang terbaik


Ayah  pacakkan pelita-pelita keliling kampung

Seplastik besar bunga api untuk cucu-cucu

ayah belikan

Ayah tebas bersihkan rumput di laman

Bersihkan sawang di rumah luar dalam

Ayah masukkan duit dalam sampul 

Kemas tersisip rapi

Monolog ayah...

....yang ini untuk along

....yang itu untuk angah

...untuk  Uqail, untuk Ajwad

Tiba-tiba ayah mengeluh

Air matanya sebak bergenang di kelopak

Ego ayah masih ada...

...cepat-cepat dihilangkan air matanya

Agar tak tertebak...

           Tapi hati ayah berdendang sayu


Baulu kuih bakar berbalang-balang

Ibu susun kemas-kemas di alang-alang

Ibu tahu kegemaran anak-anaknya

Untuk dibawa balik juga disediakan


Lagu raya mendayu di corong radio buruk ibu

Cepat-cepat ibu seka di hujung lengan baju Kedahnya

Bilik hujung bilik tengah juga sudah dikemas

Bilik mandi penuh air di kolah ibu sediakan


Ibu tahu, ayah juga tahu

Rentas sempadan tak dibenarkan

Ayah ibu tetap menunggu-nunggu

Meninjau-ninjau di jalanan

Ayah memasang pelta-pelita

Terang bercahaya kampung mereka

Lagu Dendang Perantau ke udara

Takbir raya mendayu-dayu bergema


Di pintu itu ayah ibu menunggu

Dikepung rindu yang syahdu

Di penjuru mata mengalir air mata pilu

Seorang ayah seorang ibu

Di pintu itu mereka  tetap menunggu 

               Setianya menanti anak cucu

               Bahagia mereka di situ....

Ibu ayah tua di kaki gunung


ABi

16.5.2020

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang