Sajak - Terawih Lahar Budi

 Terawih Lahar Budi


Terawihnya di Lahar Budi

Morehnya dari Alor Belat

Sejauh Tok Layang

Tanjung Bayam mewangi roti canai

Aroma bihun Hutan Gelegah

Sesekali nasi berlauk  Tok Lebai Awang

Kekadang martabak panas-panas

Bubur kacang durian, bihun sup daging

Berdenting-denting tarian pinggan mangkuk

Simpang siur tangan di balai lintang

Menjamah juadah kemesraan desa indah

Hidangan selepas  Witir

Jemaah melontar bicara semasa 

Yang diselangi letupan mercun lada

Disulami meriam buluh dan meriam tanah

Riuh dan meriah masjid di pinggir alur sawah

Di hadapan kolam dan kolah


Sepanjang Ramadan memang indah

Anak-anak bagaikan mendapat lesen riadah

Balik lewat malam meniti bendang

Dengan pelita sarang atau lampu suluh

Kain sentung berselempang di bahu

Pernah terjatuh di batas melecun badan

Itu semua cerita segar anak kampung

tujuh puluhan lapan puluhan

Yang menjadi nostalgia menggamit kenangan

di pokok pukul lima dan pukul bidara

Di kuburan lama bersempadan sekolah

dan sawah

        Moreh dan terawih menjadi tawarikh hidup.


Abi

21.5.2020

TDI

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang