Sedikit catatan pemikiran Kemelut Telefon Pintar

 Sedikit catatan pemikiran


Kemelut Telefon Pintar


Kita sanggup berpatah balik untuk mengambil telefon pintar walaupun jauh. Hal ini menggambarkan betapa pentingnya telefon pintar kepada kita. Sama ada Antonio Meucci  atau Alexander Graham Bell pencipta pertama telefon tidak kisah tapi inovasi mereka sangat hebat untuk penduduk dunia. Begitu juga  Martin Cooper pencipta telefon bimbit pertama dunia dan pada tahun 1993 tercipta telefon pintar dunia yang bernama IBM Simon. Semenjak itu telefon pintar berkembang pantas bagai virus Covid-19. Di ceruk kampung pedalaman mahupun di kota-kota metropolitan, di gerai tepi jalan atau di restoran mewah semua orang sibuk terkais- kais skrin pemuka telefon walaupun ramai duduk semeja. Yang tua, yang muda wahima yang kanak-kanak macam dilanda fenomena. Kita seperti di dunia sendiri.


Adakah telefon menjarah pemikiran / sikap kita? Atau kita yang menjarah diri sendiri? Sebagai tamsilan, sebilah pisau, jika digunakan untuk memotong sesuatu yang bermanfaat pasti banyak kebaikannya. Jika digunakan untuk jenayah pasti buruk padahnya. Salah pisau atau kita? Kita sepatutnya bijak memilih yang mana kaca, yang mana permata.


Pasti banyak bersetuju bahawa telefon pintar banyak faedahnya. Pada hemat saya telefon boleh kita eksploitasi untuk pelbagai manfaat. Melalui gajet ini ada beribu-ribu kemudahan yang dapat kita peroleh. Pada masa yang sama terlalu banyak keburukan yang dapat kita dapati jika disalahgunakan.  Bukan sahaja untuk komunikasi malah untuk pendidikan, sumber rujukan / ilmu, maklumat, berita, multimedia, alat / tool malah kemudahan-kemudahan lain. Sesekali kita dapat berhibur dan mengisi masa senggang dengan menggunakan telefon bimbit. Aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram, Instagram dan banyak lagi sudah pasti sangat berguna kepada kita. Yang penting dapat menjana ekonomi malah dapat berdakwah serta menyebarkan maklumat berguna.


Manfaat telefon pintar semua orang tahu dan begitulah sebaliknya. Keburukannya tidak boleh dikesampingkan. Sebagai contoh, kemelut anak-anak bangun lewat akibat berjaga kerana melayari internet atau bermain permainan dalam talian (contoh Permainan Babjee) atau bersembang dalam talian. Menjadi konflik antara ibu bapa. Ibu bapa tertekan dan memendam rasa. Anak-anak tidak lagi  bangun pada waktu matahari segalah tetapi menjelang zohor atau asar. Perubahan sikap anak-anak kian nampak dan kadang-kadang memuncak menjadi tekanan dalam rumah tangga. Kanak-kanak pula disogok dengan telefon untuk elakkan meragam. Belum lagi  kesan terhadap pembelajaran. Segelintir golongan tua atau dewasa saban waktu telefon di genggaman. (Kata orang Indonesia telefon bimbit itu telefon genggam memang bersesuaian) Bapa borek, anak rintik. Keruh di hulu keruhlah di hilir. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. 


Natijahnya, kita jangan umpama paku dulang, paku serpih, mengata orang kita yang lebih.  Jadi, apapun terletak pada kita untuk menghindari masalah telefon pintar. Peranan ibu bapa sangat penting dalam mendisiplinkan anak-anak. Mesti bijak menyelesaikan masallah ini. Menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Yang pasti, polimik telefon pintar ini menjadi masalah global atau masalah sarwajagat. Sama- sama kita fikir, sama-sama bertindak. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.


Abd Aziz Bin Ishak ABI

4 Julai 2020

Puteri Jaya

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang