Sedikit Catatan Pemikiran Pusara Di Lebuh Raya
Sedikit Catatan Pemikiran
Pusara Di Lebuh Raya
Berdesup bagai lipas kudung, menyelinap, menciluk kiri kanan. Tidak kira di lebuh raya atau jalan biasa. Waktu puncak, waktu sesak pun digasak. Sesetengah pengguna jalan raya seperti mempunyai dua personaliti (split personality). Di jalan raya kelihatan rakus, ganas dan bersikap pembuli. Di luar pula kelihatan berimej sopan dan baik.
Guballah 1,001 undang-undang atau kerahkanlah ribuan anggota polis trafik pasti tidak akan mampu menghalang kemalangan terus berlaku, semuanya kerana sikap pemandu yang sering sahaja ingin menjadi jaguh `di gelanggang yang salah'. Ego menjadi tinggi apabila berada di dalam kenderaan.
Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang masih tinggi disifatkan sebagai punca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan.
Selain itu, peningkatan jumlah kenderaan yang tidak sejajar dengan pembangunan infrastruktur jaringan jalan raya dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan di Malaysia.
Lebih mengecewakan, jika sikap pemandu yang tidak bertamadun ini menyusahkan pengguna-pengguna lain yang tidak bersalah, bayangkanlah dalam sesetengah kemalangan pemandu biadab terselamat sedangkan pemandu yang berhemah menjadi mangsa.
Yang anehnya ada sesetengah kelompok ini begitu bersopan ketika di luar kenderaan tetapi apabila memegang sahaja stereng perwatakan mereka berubah, hal ini sama seperti mana digambarkan dalam satu adegan kartun Donald Duck yang memaparkan bagaimana seorang doktor yang begitu bersopan dan bertimbang rasa berubah wajah menjadi seperti serigala yang ganas sebaik sahaja memandu kenderaan. Apakah itu wajah sebenar sesetengah pemandu kita?
Sebaliknya, ada pemandu yang menjadikan jalan tempat makan angin. Terlalu santai atau perlahan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
Menggunakan telefon, bermesej semasa memandu. Ada yang bercanda asmara ketika di jalan raya.
Malah tidak kurang juga yang malas atau sengaja tidak memberi isyarat membelok atau memotong.
Kita tidak mahu jalan raya atau lebuh raya menjadi pusara tidak bertanda. Jangan biarkan keluarga anda menanti dalam tangisan. Nyawa bukan boleh dijual beli.
Memang malang tidak berbau tetapi langkah berjaga-jaga itu penting. Cegah sebelum parah. Pandu cermat jiwa selamat.
Abd Aziz Bin Ishak
ABI. 19.8.2020
Ulasan
Catat Ulasan