Sedikit Catatan Pemikiran (Sambungan Tentang Cenerlang) Guru Cemerlang / Pensyarah Cemerlang (DG)
Sedikit Catatan Pemikiran
(Sambungan Tentang Cenerlang)
Guru Cemerlang / Pensyarah Cemerlang (DG)
Ukur Baju Di Badan Sendiri
Cemerlang DG, laluan pantas kenaikan gred atau pangkat. Gaji pun naik. Ada yang terkejar-kejar ada yang tidak peduli. Malah ada yang malas. Malas isi borang. Ada yang tidak layak dan menyedari diri sendiri tidak layak.
Ada yang tidak layak tetapi cuba melayakkan diri. Maka, pelbagai strategi diadakan untuk mencapai impian. Kehendak menghalalkan cara. Bertungkus lumus menyediakan bukti. Fail-fail dihidangkan bertimbun serta berkilat kemas. Sasaran Kerja Tahunan, sumbangan- sumbangan di dalam jabatan, masyarakat, penulisan, kajian, inovasi dan sebagainya disenaraikan berderet umpama naratif cinta.
Tatkala diselia, dipantau maka lakonan hebat dipersembahkan bagai opera Shakespeare. Semua nampak pepat. Apabila berjaya naik gred cemerlang ke mana hilang kecemerlangan? Apa sumbangan? Kerja hakiki diketepikan. Kehebatan cemerlang kita disimpan di dalam fail di pejabat.
Namun demikian, ada individu penjawat awam guru dan pensyarah yang sememangnya cemerlang. Seluruh aspek berkilat hebat. Tugas sebenar di dalam kelas tidak dingelat. Selayaknya mereka mendapat imbuhan gred kecemerkangan. Tiada kepura-puraan, diselimuti keikhlasan dan integriti tinggi. Disulami kemahiran pedagogi, inovasi atau penyelidikan pendidikan. IQ, EQ dan SQ diintegrasikan dengan mantap dan jitu.
Selayaknya hingga ke Gred Khas C atau hingga ke JUSA dan TURUS tidak akan dipertikai malah berbaloi lantikan itu jika sememangnya individu itu hebat.
Peringkat-peringkat yang perlu dilalui:
Permohonan -> Saringan & Tapisan (Putrajaya) -> Pemantauan di sekolah / Institut pendidikan guru untuk verifikasi (jika melepasi tapisan kelayakan) -> Keputusan & Pelantikan
Persediaan untuk memohon dan pemantauan:
1. Menepati syarat kelayakan (cukup tempoh untuk memohon) dan syarat-syarat umum lain
– Sah jawatan
– Telah dinaikkan pangkat ke gred semasa, tidak layak memohon jika sedang memangku
– Bebas tindakan tata tertib
– Lulus tapisan keutuhan SPRM
– Telah isytihar harta
– Markah prestasi sekurang-kurangnya 80% untuk 3 tahun kebelakangan
– Mendapat sokongan Ketua Jabatan
2. Sumbangan di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan, antarabangsa. sijil-sijil sumbangan, penyertaan di pelbagai peringkat untuk dokumentasi. Sebagai bukti sumbangan cikgu / pensyarah
Paling penting: Kemenjadian pelajar-pelajar cikgu sendiri dari aspek peningkatan dalam pelajaran / peperiksaan, pencapaian murid dalam kokurikulum, sahsiah dan sebagainya. (Aspek kemenjadian keguruan untuk siswa guru)
Walaupun kita terlibat dengan pelbagai aktiviti, tetapi kebajikan pelajar kita sendiri jangan diabai. Merekalah tugas hakiki kita terpusat.
Dicampak ke darat menjadi gunung, dilontar ke laut menjadi pulau, dilambung ke udara menjadi awan gemawan. Benih akan bercambah mekar.
Ulasan
Catat Ulasan