Sedikit Catatan Pemikiran (Sambungan) Dilema Emak Ayah
Sedikit Catatan Pemikiran
(Sambungan)
Dilema Emak Ayah
Kata Prof. Daniel Gilbert yang disokong oleh Prof. Atan Long, psikologi ibu bapa ialah cerminan kepada anak-anak. Namun, kenyataan itu tidak mutlak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, Ke mana kuah tumpah kalau tak ke nasi, peribahasa yang acap kali kita dengar dan hampir semua orang tahu maksudnya. Bukan semua faktor berpunca daripada ibu bapa atau keluarga.
Dilema emak ayah terhadap anak-anak bermula dari kandungan hinggalah ke dewasa malah sampai ke akhir hayat anak-anaknya. Yang paling kompleks adalah pada masa anak-anak dalam alam remaja.
Dari segi pendidikan dan sahsiah sangat perlu diberi tumpuan bagai menating / menatang minyak yang penuh. Pendidikan agama, nilai-nilai kehidupan, psikologi tidak dapat diketepikan dalam mendidik anak-anak remaja.
Namun, dewasa ini pengaruh dari dalam dan luar memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan remaja. Catatan saya hari ini ingin fokus kepada pengaruh media masa elektronik / media sosial.
Kebanyakan ibu bapa alaf ini tidak mahu anak-anak mereka merasai kesukaran atau penderitaan kehidupan seperti yang pernah dialami oleh mereka dahulu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Maka, anak-anak dihidangkan dengan pelbagai kemudahan. Contohnya peralatan siber dan gajet. Hampir semua anak remaja memiliki gajet. Paling kurang telefon pintar.
Implikasinya, fenomena negatif kian menular. Antaranya anak-anak bangun lewat. Berapa ramai yang bangun melepasi rembang tengah hari? Berapa ramai yang terlepas solat subuh?
Maka banyak kerja tertangguh. Sikap mula berubah, panas baran kerana tidak cukup tidur. Kalau yang ada kelas atau kuliah mulai lewat atau ponteng. Kerja halai balai cincai kerana letih dan kemasai. Mulai melawan cakap ibu bapa dan orang-orang tua. Fiil dan disiplin berubah ketara. Walaupun ibu bapa cuba memantau dan berawas tetapi sedikit sebanyak tetap berlaku. Sama ada serius atau tidak sahaja.
Emak ayah kadang-kadang tercongok macam tunggul berdua kerana anak-anak melayan telefon di dalam bilik. Kalau bersama-sama pun suasana hening waima di meja makan kerana kalut melayan tetamu di telapak tangan atau pun sibuk dengan "games" dalam talian.
Apa-apa perkara yang disuruh tertangguh atau terus tidak dibuat. Akhirnya ibu dan ayahlah yang menyiapkan tugasan itu. Sehinggakan kasut sekolah pun emak atau ayah yang basuhkan. Hal ini menjadi beban perasaan terhadap ibu bapa. Ditambah pula anak-anak sudah pandai menutur perkataan-perkataan yang kurang enak didengar kerana pengaruh media sosial. Menjadi serius lagi apabila anak-anak makin pandai menipu. Katanya ulangkaji di dalam bilik tetapi sedang sembang dalam talian berjam-jam. Ada yang seolah-olah berkampung di dalam bilik, siap makan dan minum. Lagi kronik apabila anak-anak terjebak dalam ketagihan pornografi yang mudah dilayari di laman-laman percuma.
Anggapan mereka, emak ayah apa tahu!...seolah-olah ketinggalan zaman. Apatah lagi ibu bapa yang kurang arif dalam dunia siber atau dunia digital ini.
Intihanya, peranan ibu bapa adalah penting tetapi perasaan ibu bapa juga mesti dijaga oleh remaja walaupun mereka belum matang. Faktor media digital juga perlu dikawal sama ada diri sendiri, keluarga dan pihak berkuasa. Remaja hari ini ialah pemimpin masa akan datang. Kata Soekarno, berikan aku sepuluh orang pemuda yang mantap jiwa dan mindanya, akan aku gempur dunia. Begitulah pentingnya anak- anak remaja dalam kehidupan di maya pada ini. Jiwa ibu bapa kian tertekan juga perlu diberi perhatian.
ABI
HEP IPGKPP...8.7.2020
Ulasan
Catat Ulasan