Sedikit Catatan Pemikiran...Rasuah Membarah Integriti Musnah

 Rasuah Membarah Integriti Musnah


Usah laungkan budaya cemerlang, usah bercakap negara hebat, tidak perlu wawasan menjulang jika rasuah seperti duri di dalam daging. Jika rasuah umpama api di dalam sekam. Merobok dalam sistem organisasi negara.


Sistem kehidupan musnah, jentera kerajaan goyah. Dari peringkat peneraju politik sehingga ke peringkat ketua jabatan, penguatkuasa, pihak swasta wahima mat rempit atau pak lebai di kampung pernah ada isu rasuah dan integriti.


Duit kopi, Tumbuk Rusuk, Makan Suap, Duit Tepi atau apa-apa nama dan panggilan  pun tetap salah dan terkutuk dalam kehidupan sama ada dalam agama dan nilai moral. Meminta / menerima rasuah (Akta SPRM seksyen 16 dan 17), menawar / memberi rasuah (Seksyen 17), membuat tuntutan palsu (Seksyen 18), dan menyalahgunakan jawatan / kedudukan (Seksyen 23) ialah jenis-jenis rasuah yang berlaku di seantero dunia.


Seksyen 3 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa: 

- wang, derma, pinjaman, hadiah

- jawatan, kebesaran, kontrak perkhidmatan

- pelepasan, penyelesaian pinjaman

- Diskaun, komisyen, rebat, bonus

- Perkhidmatan dan pertolongan lain

Berkepentingan dan bermaksud sesuatu ke arah rasuah. Semua itu boleh didakwa.


Sangat membimbangkan apabila data dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menunjukkan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah membabitkan ramai golongan muda berusia bawah 40 tahun. Apa akan terjadi kepada negara jika hal ini tidak dibendung pada peringkat awal?


Menurut Berita Harian (8 Oktober 2019) statistik 2014 hingga 2019 menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan atas kesalahan rasuah adalah penjawat awam. Generasi muda berusia bawah 40 tahun pula merangkumi 53.4 peratus.


Soal selidik SPRM mendapati 22.1 peratus responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan disandang. Kajian Bank Dunia juga menyatakan kira-kira 51.4 peratus firma atau syarikat pembuatan di Malaysia bersedia menawarkan ‘hadiah’ untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Hasil tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) tentang persepsi pelajar terhadap rasuah pula mendapati, seorang daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat, menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan diberikan bukan rasuah.


Kaji selidik sama turut menunjukkan 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka mengambil harta atau barangan milik syarikat seperti pemacu pena, dakwat mesin pencetak atau kertas bagi kegunaan peribadi. Malah, 37.3 peratus responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugasan luar walaupun ada tajaan penuh bukan satu kesalahan moral.


Berdasarkan kajian dijalankan SPRM yang membabitkan kira-kira 1000 pelajar universiti, 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah, manakala 18.5 peratus pula sanggup menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil terhadap perbuatan mereka.


Jika pihak atasan yang terlibat dengan gejala ini, apatah lagi pihak yang di bawah.  Keruh di hulu, keruhlah di hilir. Bapa borek, anak rintik. Jika hakim, pemimpin, ketua organisasi, konglomerat, koperat, pensyarah, guru, ustaz dan sebagainya terlibat dengan budaya bobrok ini sudah pasti rakyat di bawah menjadikan rasuah sebagai suatu budaya dalam kehidupan. 


Sistem pemerintahan, kehakiman, pentadbiran, penguatkuasaan dan seluruh sistem hidup akan mengalami kepincangan.


Tidak perlu bercakap tentang integriti, jika rasuah menjadi nafsu-nafsi dalam aktiviti kehidupan. Tidak kira rasuah itu berbentuk ganjaran wang, barang / benda, seks, atau apa-apa sahaja yang melibatkan kepentingan atau memudahkan urusan. Tidak perlu menjadi ketam menyuruh anaknya berjalan lurus.


 Usah berdegar-degar kata dan ucapan, jika yang tersurat tidak sama yang tersirat. Lempar batu sembunyi tangan. Pastinya impak dalam kehidupan sangat buruk dan menjijikkan. Implikasi utama, sudah pasti menerima hukuman / denda, harga diri / moral sangat terjejas, kehilangan pekerjaan ( tiada pencen, tiada kemudahan, keistimewaan sebagai bekas penjawat awam), menghancurkan keharmonian rumah tangga, keluarga terabai dan kesan buruk sampingan yang lain.


Yang pastinya jika didapati bersalah, penalti kesalahan rasuah bawah Akta SPRM 2009 ( Seksyen 16, 17, 18, 20, 21, 22 dan 23) penjara tidak lebih 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10 ribu yang mana lebih tinggi. 


Jangan biarkan nasi menjadi bubur, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Menangis air mata darah sekalipun sudah tidak bermakna. Jangan biarkan negara dibelenggu rasuah. 


Muda-mudi hari ini pelapis generasi akan datang. Bakal pemimpin alaf baharu ini. Rasuah dihina, maruah dibina. Negara dijaga, rakyat mulia dan sejahtera. Integriti di hati, rasuah juga bermula di hati. Rasuah mesti dicegah sebelum parah.


Abd Aziz Bin Ishak (ABI)

Penyelaras AMAR

(Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah)

IPG KAMPUS PULAU PINANG

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan antara `BOLEH’ dengan `DAPAT’

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang