Catatan

Tunjukkan catatan dari Ogos, 2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan MERASA dan BERASA +++ MERASA = Kata Kerja ( Kata Kerja Transitif) Contoh ayat: 1. Saya merasa air yang manis itu. 2. Saya merasa dinding yang kasar dengan telapak tangan. +++ BERASA = Perasaan / Adjektif Contoh ayat: 1. Saya berasa marah. 2. Saya berasa hendak terkencing 3. Saya berasa jatuh hati terhadap gadis itu. ABI TDI...22.8.2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa Kata Banyak Makna (Polisim)

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Kata Banyak Makna (Polisim) Akal 1. fikiran 2. ikhtiar 3. muslihat, tipu helah Alamat 1. tanda 2. tempat tinggal 3. keterangan nama tempat, jalan, nombor rumah,poskod dan        menunjukkan tempat tinggal seseorang. Barang 1. benda 2. lebih kurang 3. apa-apa saja Bermuka-muka 1. beberapa banyak muka surat. 2. berpura-pura atau tidak ikhlas Bersimpang-siur 1. bergerak ke sana ke mari. 2. silang-menyilang kerana terlalu banyak. 3. terlalu banyak likunya, berliku-liku. Besar 1. tidak kecil. 2. kuat dan lurus kawasan pemerintahnya. 3. penting, berpengaruh, berkuasa 4. tugas penting, hajat atau niat. Cerah 1. terang 2. jernih. 3. agak putih. 4. berseri, tidak muram. 5. baik, bahagia. Cetek 1. tidak luas (pengetahuan) 2. tidak dalam (air) Dalam 1. tidak cetek 2. luas pengalaman Diam 1. tidak bercakap, senyap 2. tinggal Diam-diam 1. senyap-senyap, tidak memberitahu sesiapa. 2. tidak berbuat apa-apa Dingin 1. sejuk 2. tidak meriah Faedah 1. g...

Sedikit Catatan Pemikiran...Rasuah Membarah Integriti Musnah

 Rasuah Membarah Integriti Musnah Usah laungkan budaya cemerlang, usah bercakap negara hebat, tidak perlu wawasan menjulang jika rasuah seperti duri di dalam daging. Jika rasuah umpama api di dalam sekam. Merobok dalam sistem organisasi negara. Sistem kehidupan musnah, jentera kerajaan goyah. Dari peringkat peneraju politik sehingga ke peringkat ketua jabatan, penguatkuasa, pihak swasta wahima mat rempit atau pak lebai di kampung pernah ada isu rasuah dan integriti. Duit kopi, Tumbuk Rusuk, Makan Suap, Duit Tepi atau apa-apa nama dan panggilan  pun tetap salah dan terkutuk dalam kehidupan sama ada dalam agama dan nilai moral. Meminta / menerima rasuah (Akta SPRM seksyen 16 dan 17), menawar / memberi rasuah (Seksyen 17), membuat tuntutan palsu (Seksyen 18), dan menyalahgunakan jawatan / kedudukan (Seksyen 23) ialah jenis-jenis rasuah yang berlaku di seantero dunia. Seksyen 3 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa:  - wang, derma, pinjaman, hadiah - jawatan, kebesara...

Sedikit Catatan Pemikiran Pusara Di Lebuh Raya

 Sedikit Catatan Pemikiran Pusara Di Lebuh Raya Berdesup bagai lipas kudung, menyelinap, menciluk kiri kanan. Tidak kira di lebuh raya atau jalan biasa. Waktu puncak, waktu sesak pun digasak. Sesetengah pengguna jalan raya seperti mempunyai dua personaliti (split personality). Di jalan raya kelihatan rakus, ganas dan bersikap pembuli. Di luar pula kelihatan berimej sopan dan baik. Guballah 1,001 undang-undang atau kerahkanlah ribuan anggota polis trafik pasti tidak akan mampu menghalang kemalangan terus berlaku, semuanya kerana sikap pemandu  yang sering sahaja ingin menjadi jaguh `di gelanggang yang salah'. Ego menjadi tinggi apabila berada di dalam kenderaan.  Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang masih tinggi disifatkan sebagai punca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan. Selain itu, peningkatan jumlah kenderaan yang tidak sejaja...

Sajak - Nilai Keringat Darah

  Nilai Keringat Darah Ini ilustrasi tentang sudut pandang Kita mendambakan Malaysia Bukan milik sebahagian Hari ini dalam sedut udara merdeka Kita berlari-lari ketawa ria Namun, Lebih 60 tahun lalu Hasil keringat dan darah Pejuang-pejuang yang masyhur tertalun Atau wira-wira tak didendang Hari ini kita memperingati kemerdekaan Kita jerit merdeka, merdeka Berarak di kota-kota Berkibar sang saka negara Merata-rata... Orang-orang yang terlibat jiwa dan raga Memperjuangkan negara ini Tidak dapat tinggal selesa Ironinya mereka berjuang untuk kita Mengusir penjajah dan menghapus pengganas Kita hanya menjaja jasa mereka Mereka sudah terlalu tua di desa Atau sudah tiada selamanya Hidup sedari dulu seadanya Tanah di kota- kota kosnya berjuta Milik pemunya-pemunya harta Kapitalis-kapitalis pemugar renta dunia Dulu tempat darah dan air mata patriot negara Apa yang kita beri kepada mereka? Malah kita tujal dengan kata-kata hina Mereka makan gaji buta, tak ada ke...

Sajak - Petunjuk

 Petunjuk Jika hari ini kita makan nasi Arab, nasi Mandy Esok tak tentu kita makan apa Jika hari ini kita makan nasi Briyani Esok tak pasti apa rezeki kita Jika hari ini orang menadah tangan dii pinggir jalan Usah dilihat sebelah mata Jika hari ini orang beratur panjang di pajak gadai Kita jangan diam sahaja Itu bukan dugaan untuk mereka Itu dugaan untuk kita jua Ujian untuk semua Jika esok kita menjadi mereka Mungkin nasib lebih merana Jika esok mereka menjadi kita Mungkin rezeki lebih tersedia Harta dan darjat bukan hak mutlak kita Semuanya milik Yang Maha Esa Itu kitaran menjadi pengajaran Agar merujuk kitab kesedaran Kerana petunjuk juga milik-Nya ABi TDI 6.5.2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa BAHASA ISTANA

 Sedikit Pengetahuan Bahasa BAHASA ISTANA # Bahasa Istana # Bahasa Biasa Almarhum Allahyarham ampun kurnia maaf anugerah beri; hadiah baginda dia (rakyat menyapa raja) beradu tidur berangkat berlepas; bertolak bercemar duli berjalan; pergi ke berkenan sudi; suka akan berputera beranak; bersalin bersabda berkata bersiram mandi bertitah berkata beta saya (raja) daulat bahagia gering sakit hari keputeraan hari jadi hulu kepala iram-iram payung kaus kasut kurnia beri; hadiah mahkota topi makam kubur mangkat mati; meninggal dunia menghadap menjumpai murka marah patik saya (rakyat menghadap raja) peraduan tempat tidur permaisuri isteri putera anak lelaki puteri anak perempuan santap makan semayam duduk; tinggal sembah memberi salam singgahsana kerusi titah kata; perintah ABi 7.5.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa Imbuhan

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Imbuhan Diper....kan Diper....i Memper....kan Memper....i Tidak boleh digunakan bersama kata adjektif Contoh Dipercantikkan (salah) Dipercantik (betul) Mempercantikkan (salah) Mempercantik (betul) Mencantikkan (betul) Memperlebarkan (salah) Memperlebar (betul) Melebarkan (betul) Diperbodohkan (salah) Diperbodoh (betul) Mempertingkatkan (betul)  Mempertingkat (betul) Meningkatkan (betul) 'Tingkat' ialah kata nama Memperkatakan (betul) Mengatakan (betul) 'Kata' ialah kata nama ABi....6.10.17.  Laguna Merbok

Sedikit Pengetahuan Bahasa KATA NAFI

 Sedikit Pengetahuan Bahasa KATA NAFI Kata Nafi 'tidak' dan 'bukan' Kata nafi 'tidak' digunakan di hadapan: a) Frasa Kerja Contoh: Dia tidak menyiapkan kerjanya. (kata nafi) (frasa kerja) b) Frasa Adjektif Contoh: Kasut ini tidak berapa mahal. (kata nafi) (frasa adjektif) Kata nafi 'bukan' pula digunakan di hadapan: a) Frasa Nama Contoh: Orang itu bukan abang saya. (kata nafi) (frasa nama) b) Frasa Sendi Nama Contoh: Surat ini bukan daripada kakak saya. (kata nafi) (frasa sendi nama) ABi 10.5.2020 TDI

Ulang kaji Sedikit Pengetahuan Bahasa Ulang kaji

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Ulang kaji Sedikit Pengetahuan Bahasa Ulang kaji BAHARU dan BARU Baharu = kata adjektif.... cth: 1.  Kereta baharu sungguh cantik.         2.  Tahun Baharu Cina. Baru = masa....cth: 1. Baru tadi dia sampai.                                    2. Baru- baru ini berlaku                                           kematian. ABI 7.11.18 Hoshin Baharu = kata adjektif.... cth: 1.  Kereta baharu sungguh cantik.         2.  Tahun Baharu Cina. Baru = masa....cth: 1. Baru tadi dia sampai.                                    2. Baru- baru ini berlaku                     ...

Sajak - Anak Sri Sarawak (Khas utk bekas pelajarku yg juga sahabat)

 Anak Sri Sarawak (Khas utk bekas pelajarku yg juga sahabat) Langkah lelaki itu mengorak gagah Merentasi lebih dua dasawarsa masa Menggapai puncak gunung kehidupan Melalui gerbang-gerbang mencabar Anak Kenyalang tidak patah sayapnya Melebarkan kepaknya ke seantero alam Lempias semangat mengalunkan ombak  Laut China Selatan Prinsip lelaki itu... Bara yang digenggam, arang jadinya Jika indah satu pertemuan jangan diakhiri dengan perpisahan Jika indah satu persahabatan jangan diputuskan dengan permusuhan Jika indah satu cinta jangan dinodai dengan pengkhianatan dan kemaksiatan Hiasi dengan ketaatan, keceriaan, ketulusan dan juga kejujuran.. Namun takdir Tuhan tidak dapat disanggah Patah sayap bertongkat paruh Patah paruh berpasakkan taji Tetap berdiri berjalan melangkah jua Jika ingin melihat pelangi yang indah maka kita harus bersabar menanti redanya air hujan. Yang patah pada ranting bukanlah kayu, melainkan ketentuan Tuhan nan Satu Kuhunjamkan pedangku ke bilah dadamu Kautikam...

Sajak- Apa Guna Pilihan Raya?

 Apa Guna Pilihan Raya? Main politik                    berpolitik Tak perlu ahli politik Tak perlu parti politik Tak perlu kempen politik Tak perlu pilih calon Tak guna mengundi Tak guna kertas undi dilipat dirahsia Tak guna manifesto Tak guna janji-janji Apa guna pilihan raya Jika main lompat-lompat Kepentingan rakyat dilipat-lipat Buang masa rakyat Harapan rakyat disiat-siat Bazir duit pilihan raya bergulat Integriti sudah mati Maruah diri tak dipeduli Demokrasi dicabuli Rakyat dibuli Wakil rakyat hipokrit... ...indivudualistik ...materialistik Mengapa sombong dan berlagak dengan rakyat? Adakah rakyat buta dan tuli? Politikus yang menikus Tapi punya fokus berbungkus-bungkus ABi 12.5.2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa Ulang kaji Kata Dasar (Tiada imbuhan)

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Ulang kaji Kata Dasar (Tiada imbuhan) Contoh, Aku, jalan, balai, binatang dan sebagainya. Kata Terbitan (Berimbuhan) Contoh, Mengakui, berjalan, kebinatangan dan sebagainya. Kata Tunggal ( Terdiri daripada Kata Dasar dan Kata Terbitan) Contoh, Aku, mengakui, jalan, perjalanan dan sebagainya. Ejaan Kata Majmuk Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya dianggap sudah mantap dan dieja sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mempunyai dua kata dasar... dirapatkan. Perkataan yang demikian dieja sebagai satu perkataan. Bentuk tersebut ialah: tanggungjawab  olahraga tandatangan  matahari  suruhanjaya jawatankuasa  sukarela  warganegara setiausaha  kakitangan pesuruhjaya  bumiputera antarabangsa  beritahu  kerjasama (Semua perkataan di atas dianggap satu perkataan) Selain contoh yang ditunjukkan di atas, ejaan kata majmuk ditulis terpisah. Contoh: jalan raya tunjuk ajar am...

Sajak- Politik Kitul

 Politik Kitul Si Kitul Raja Mandaliar Watak yang berperan Watak seperti... Api dalam sekam Gunting dalam lipat Musuh di selimut Telunjuk lurus kelingking terkait Tunggu rencananya Tunggu rencamnya Wataknya berwabak Dalam diam merebak Gerak tidak berolak  Watak Kitul dianggap betul Peran Mandaliar hebat tersiar Perancang hebat tak terkelibat Air tenang jangan disangka tiada buaya Dan kita usah mendengar siul ular Bolehkah berkuah sama menghirup, bersambal sama mencolek? ABi 13.5.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan Kata Arah dan Kata Tunjuk

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Perbezaan Kata Arah dan Kata Tunjuk ##  Kata Arah Kata arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan arah, hala atau jurusan. Kata arah memberitahu arah tempat di mana sesuatu benda itu berada. Contoh: atas. bawah.  kiri.  kanan. hadapan.  belakang timur. barat.  hujung. hulu.  pangkal. pinggir puncak.  antara.  samping.  sebelah.  sebalik seberang.  segi.  sekitar.  utara.  selatan.  sisi sudut.  tengah.  tepi.  sekeliling.  hilir.   celah bucu Nota: Kata arah mesti didahului oleh kata sendi nama di, ke dan dari. Kata sendi nama di dan ke mesti ditulis terpisah daripada kata arah. Contoh ayat: Kereta api itu menuju ke timur. Si Comel melompat dari atas bumbung rumah. Rumah itu terletak di antara dua bangunan kedai. Ibu saya menanam pokok bunga kertas di sekeliling kolam itu. ##  Kata Tunjuk 1. Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang digun...

Sedikit Pengetahuan Bahasa Kesalahan Acap Kali Dilakukan

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Kesalahan Acap Kali Dilakukan Kata Ganti Nama 3.....ia, nya Ia = dia = nya ##   Kata Ganti Nama hanya digunakan untuk manusia. 1.   Ali pandai, ia / dia seorang yang rajin. ( betul ) Tiada perkataan ianya 1.   Kerusi itu cantik, ianya diperbuat daripada kayu. ( salah ) 2.  Kerusi itu cantik, ia diperbuat daripada kayu. ( salah ) 3.  Kerusi itu cantik, kerusi itu diperbuat daripada kayu. ( betul ). 4. Kucing itu cantik, ia sangat comel. ( salah ) 5. Kucing itu cantik, kucing itu sangat comel.  (  betul  ) ABi 14.5.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa Kesalahan yang selalu dilakukan

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Kesalahan yang selalu dilakukan 1.   Ini menunjukkan bahawa.....( salah ) 2.   Itu menunjukkan bahawa.....( salah ) 3.   Hal ini menunjukkan bahawa.... ( betul ) 4.   Hal itu menunjukkan bahawa....( betul ) Atau.... 5.   Keadaan ini / Keadaan itu / Situasi ini / Situasi itu / Fenomena ini / Fenomena itu ( betul ) ### Alasan :  Itu dan Ini ialah Kata Tunjuk ABi 14.5.2020 TDI

Sajak - Wangian Peraduan Ayah (Khas untuk ayahanda Tn. Hj. Hamzah Hj. Yahya)

 Wangian Peraduan Ayah (Khas untuk ayahanda Tn. Hj. Hamzah Hj. Yahya) Malam dua puluh satu Ramadan Mimpi aku dihiasi pertemuan dengan ayah Di tubir peraduannya tersenyum padaku Aku terpaku tertegun tertebak rasa Mimpi indah sedetik cuma Pada redupnya kenangan selalu ada yang menyala dengan begitu terang unggun-unggun api rindu Rindu menyelinap di perdu rasa pada           bicaranya          senyumnya           tawanya Waima dengkurnya Sajak ini adalah rindu, pucuk dari sunyi, mahkota dari resah. Di bayangan katedral, aku menunggu bersama zikir  yang memohonkan kamu dirahmati Tuhan hanya puisi yang mau menerima cinta ayah tanpa pernah meminta bahagia Dalam puisi aku sediakan senggang tempat yang bahkan lebih lapang dari dunia, luas tak berbatas serupa langit rasa sayang kepadamu ayah Puisi ialah samudera kata, muara dari aksara yang belum sempat terbahasakan. Tiada kasih yang lebih perih, daripada k...

Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah Guna Penjodoh Bilangan

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah Guna Penjodoh Bilangan Penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Penjodoh bilangan digunakan untuk menentulkan sesuatu benda mengikut bentuk, rupa, saiz, dan sebagainya. Contoh 1 . Helai- untuk benda-benda yang nipis dan lebar. Contoh- daun, baju, kertas, kain, tuala, rambut, rumput 2 . Kuntum- untuk bunga Contoh- mawar, matahari, tulip, anggerik, melati, raya, kekwa 3. Buah- untuk benda besar dan padu , yang tidak mempunyai bentuk tertentu Contoh- kereta , negeri , rumah , kotak , kampung , komputer ##   Penggunaan penjodoh  bilangan yang betul Penjodoh Bilangan  +  Kata Konkrit (Nampak)            Sebuah           +   kereta            Sebutir            +   pasir            Sekeping.       +  ...

Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah Guna Perkataan Apabila (Kata Hubung)

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah Guna Perkataan Apabila (Kata Hubung) Banyak kesilapan bahasa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh, figura malah cikgu atau ustaz yang menjadi idola orang ramai atau pelajar-pelajar tanpa disedari. Hal ini menjadi ikutan ramai. Contoh : 1.  Bilamana matinya seorang anak Adam, yang tinggal ialah amal jariahnya. ((salah bilamana) (Bila ialah Kata Tanya / Mana ialah Kata Tanya) 2.  Ketikamana matinya seorang anak Adam, yang tinggal ialah amal jariahnya. ((salah ketikamana) (Ketika ialah Kata Hubung  /  Mana ialah Kata Tanya) 3.  Bila matinya seorang anak Adam, yang tinggal ialah amal jariahnya. ((salah bila) (Bila ialah Kata Tanya) 4.  Orang yang lalai akan kerugian di mana dia tidak bertindak segera dan berhati-hati. (salah di mana) (Di mana ialah Kata Tanya) SEPATUTNYA 1.  Apabila matinya seorang anak Adam, yang tinggal ialah amal jariahnya. (Betul) (Apabila ialah Kata Hubung) 2.  Orang yang lalai akan kerugian apab...

Sajak - Hidayah Di Tabir Covid

 Hidayah Di Tabir Covid Covid 19 menitipkan nur hidayah Untuk seluruh umat bumi ini Alam seolah-olah bersih seketika Tanpa monoksida ketara Hiruk pikuk kota raya reda sementara Ekzos menjerit rempit kurang membingit Mengurangkan muntahan cerobong industri Isi alam diselimuti sunyi yang bererti Mengajar fahami imam supaya waham Mengukuh makna iman tanpa kecindan Imarah rumah dengan ukhuwah dan nur sejadah tika sujud berjemaah bersama keluarga Menyantuni Allah penuh rafak sembah kala masa melimpah bersama  mereka penghulu kepada anak-anak isteri tersirna Batas merentang sayang menjadi kurang  Berwirid bertasbih menelaah al-Furqan Menjadi lapang rengga waktu tak bersemu Tiada terkocoh-kocoh buru-buru waktu Covid 19 mengajar manusia budi bahasa Memahami disiplin penjarakan sosial Mengurangkan aktiviti malam Menyusahkan kupu-kupu malam Menyukarkan lepak di hujung kelam Pub dan kelab sepi membungkam Tidak lagi kalut bergelut perkara melalut Pada bulan Ramadan Covid 19 mengajak ...

Sedikit Pengetahuan Bahasa

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Perkataan Yang Sangat Jarang Digunakan Tetuang Udara Maksud: Radio Kereta Lereng Maksud: Basikal Hemoi Maksud: Tidak malu-malu langsung, tebal muka Terkesiap Maksud: Terkejut, terperanjat Laklakan Maksud: Lubang kerongkong Lingsa Maksud: Telur kutu yang terdapat dalam rambut Nikdap Maksud: Berjalan mundar-mandir tanpa membuatkan sebarang pekerjaan Prigel Maksud: Cekap bekerja Samampai Maksud: Orang yang tinggi lampai Urna Maksud: Warna Zulmat Maksud: Keadaan gelap disebabkan ribut Tunabusana Maksud: Bogel ABi 17.5.2020 TDI

Sajak - Syair Ibu Ayah Di Kaki Gunung

 Syair Ibu Ayah Di Kaki Gunung Ibu tahu Aidil Fitri kali ini sunyi Tapi ibu tetap membalut daun palas Masih juga memilih beras pulut yang bernas Kelapa terbaik dikupas-kupas Ayah tahu raya kali ini sepi Tapi ayah masih mencari kayu api Masih sedia tungku untuk mengacau dodol Kuali besar diminyakkan baik-baik Ibu tetap mencari daun kunyit subur Rempah ratus siap sedia dibeli di pekan Ayam dan daging sudah dibersihkan Masih mahu sediakan rendang terbaik Ayah  pacakkan pelita-pelita keliling kampung Seplastik besar bunga api untuk cucu-cucu ayah belikan Ayah tebas bersihkan rumput di laman Bersihkan sawang di rumah luar dalam Ayah masukkan duit dalam sampul  Kemas tersisip rapi Monolog ayah... ....yang ini untuk along ....yang itu untuk angah ...untuk  Uqail, untuk Ajwad Tiba-tiba ayah mengeluh Air matanya sebak bergenang di kelopak Ego ayah masih ada... ...cepat-cepat dihilangkan air matanya Agar tak tertebak...            Tapi hati ayah b...

Sajak - Gadis Yang Bernama Komathy

 Gadis Yang Bernama Komathy Senyumnya meminggirkan resah rasa Lirik matanya persis mata kucing Bercahaya menyinari hati nan rawan Senyum melarih pipi yang manis Titipan keluarga Nukilan wajah sejajar indahnya diri Dewi pelipur hati ayah bonda Disaat raga lelah di dalam pengap dunia Habis kata-kata untuk memuja dia Kerana gadis itu umpama suria Menyinar dunia ibu dunia bapa Yang memuncak harapan Anggun bahasa tubuh Mencerminkan kedamaian Suara merdu yang mengalun dari bibirmu Sebagai nyanyian pengantar tidur Murninya kebaikan hatimu Tanpa sedikitpun tertoreh oleh kepalsuan Tak pernah sekalipun malam Yang gelap tanpa cahaya hatimu Seolah semua cahaya bintang Kini berada di matamu Sosok yang memancarkan keindahan jiwa Raga yang mencerminkan keanggunan Tutur kata yang melontarkan kesopanan Terucap dari bibir indah yang merona Indah merekah bagai bunga mawar yang mekar Di antara tajamnya duri semak belukar Kebanggaan keluarga di pesada penjulangan Dilepaskan mengecap erti alam bercabara...

Sajak - Durian Ditebuk Tupai

 Durian Ditebuk Tupai Gemersik geseran kasar dedaun berbunyi Dari belebas bukit ini Bedebuuuuk.....nasib baik sipi Durian gugur di hujung kaki Bergolek di banir mati, berhenti Membulat cantik mewangi Harumnya menerewang ke alam hutan  Menerabas ke kampung dan jalan Duri Hitam...! Udang Merah...! Raja Musang...! Ahhh...aku jahil kenal pasti Bukan kepakaran diri Kuhampiri Durian itu kupegangi, kuusapi, kuciumi Sayangnya durian itu ditebuk tupai Katanya durian begitu enak berkualiti  Kerana tupai pandai kenal pasti... ABi 18.5.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa KATA PENGUAT + KATA ADJEKTIF

 Sedikit Pengetahuan Bahasa KATA PENGUAT + KATA ADJEKTIF Kata adjektif boleh dikenal pasti apabila sesuatu kata itu boleh menerima kata penguat. Kata penguat ada tiga jenis iaitu kata penguat hadapan yang hadir sebelum kata adjektif, kata penguat belakang yang hadir selepas kata adjektif dan kata penguat bebas yang hadir sebelum atau selepas kata adjektif. Kata Penguat Hadapan Cukup, kurang, terlalu, paling, agak, begitu, demikian, lebih Contoh ayat:    i. Pokok di belakang rumah Rahman  terlalu rendang.    ii. Masakan ibunya paling  sedap.    iii. Lukisan  itu agak cantik. Kata Penguat Belakang sekali, benar, nian, betul Contoh ayat:    i. Kelakuan budak-budak itu nakal  sekali.    ii. Rumah di atas bukit itu cantik  betul.    iii. Pemandangan di situ indah nian. Kata Penguat Bebas  amat, sangat, sungguh Contoh ayat:    i. Pakaian pemuda itu amat kemas.    ii.Pakai...

Sedikit Pengetahuan Bahasa PENANDA WACANA (bertindak sebagai kata hubung)

 Sedikit Pengetahuan Bahasa PENANDA WACANA  (bertindak sebagai kata hubung) i. Penanda permulaan karangan a. Pada era globalisasi ini, b. Pada zaman pascakemerdekaan ini, c. Dalam meniti arus kemodenan ini, d. Dewasa ini, e. Pada masa ini, f. Kini, g. Dasawarsa ini, h. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, i. Sejak sedekad yang lalu, j. Sejak negara menikmati arus kemerdekaan, k. Kebelakangan ini, l. Balakangan ini, m. Sejak akhir-akhir ini, ii. Penanda memulakan isi baharu a. Selain itu, b. Di samping itu, c. Sementara itu, d. Lebih-lebih lagi, e. Dalam pada itu, f. Lain daripada itu, g. Pada waktu yang sama, h. Dalam pada itu, i. Seterusnya, iii. Penanda huraian isi karangan a. Hal ini demikian kerana b. Hal ini berlaku kerana c. Hal ini terjadi kerana d. Hal ini disebabkan oleh e. Hal ini wujud akibat daripada f. Hal ini bersangkut-paut dengan g. Hal ini berpunca daripada h. Hal ini tercetus apabila v. Penanda menghuraikan contoh a. Hal ini mengakibatkan b. Hal ini menyeba...

Sajak - Cerminan Hak

 Cerminan Hak Biasan di cermin itu Melampirkan Senyuman yang dipaksakan Barisan batang-batang tegar ceracak  memutih Manis cantik Menggilas  pencegah erosi hati tertanam  Egois sekian lama Kerana juga Rasa kacak di aras telapak Rasa bijak di aras minda otak Harta ringgit berkepuk di bank cecupak Dek itu... Hati menyala api angkara melunakkan angkuh Yang membakar wajah segak Menghanguskan neuron-neuron bijak otak Membenak merias lagak Bagai langkah merak Membias di khalayak Lupa diri di jalanan yang Hak.. ABi 21.5.2020

Sajak - Terawih Lahar Budi

 Terawih Lahar Budi Terawihnya di Lahar Budi Morehnya dari Alor Belat Sejauh Tok Layang Tanjung Bayam mewangi roti canai Aroma bihun Hutan Gelegah Sesekali nasi berlauk  Tok Lebai Awang Kekadang martabak panas-panas Bubur kacang durian, bihun sup daging Berdenting-denting tarian pinggan mangkuk Simpang siur tangan di balai lintang Menjamah juadah kemesraan desa indah Hidangan selepas  Witir Jemaah melontar bicara semasa  Yang diselangi letupan mercun lada Disulami meriam buluh dan meriam tanah Riuh dan meriah masjid di pinggir alur sawah Di hadapan kolam dan kolah Sepanjang Ramadan memang indah Anak-anak bagaikan mendapat lesen riadah Balik lewat malam meniti bendang Dengan pelita sarang atau lampu suluh Kain sentung berselempang di bahu Pernah terjatuh di batas melecun badan Itu semua cerita segar anak kampung tujuh puluhan lapan puluhan Yang menjadi nostalgia menggamit kenangan di pokok pukul lima dan pukul bidara Di kuburan lama bersempadan sekolah dan sawah ...

Sajak - Mencari Khusyuk

 Mencari Khusyuk Ya Rabb... Tegar hati untuk sujud lama-lama kepada-Mu Anjal sejadah tidak berlekuk Cepat-cepat rukukku untuk-Mu Dibelai angin lalai Takbir mantap tidak kejap Nur khusyuk tidak menusuk Adakah hati membusuk? Ya Rabb... Berilah khusyuk agar tawaduk Mauduk hati agar membujuk Bercanda leka di monolog solat Mengomel terangsang ilat ralat Bagai tersiat maksiat Tidak memberi afiat Tuhan... Tolong hati ini dengan hidayah-Mu Alihkan jumud sujud yang bertakhta batu Mendambakan reda dan restu-Mu                                                            yang Satu. ABi 22.5.2020 TDI

Sajak - Petai Bakar Dalam Solat

 Petai Bakar Dalam Solat Kujumpa barang yang hilang dalam solat Kunampak wajah emak dalam sembahyangku Bunga sejadah berjambak naik ke kepala Desingan nyamuk terngiang-ngiang geram Haruman kari semilang menerobos indera Aroma durian, petai bakar mengganggu hafazan                waima cuma al-Kausar Tuhanku... Dalam termangu kuseru nama-Mu Agar kerdip hati terlorong pasrah untuk-Mu Tolong fokuskan hatiku Tiada biasan tanpa capahan  Cinta infiniti terpancar khusyuk nan padu ABi 23.5.2020

Sajak - Kantuk Mata

 Kantuk Mata Tidur di kamar hati sendiri Lenanya melangkau pagi Memeluk mimpi romantika Dengkur nyenyak di peraduan jiwa Didodoi rasa tenang lapang Dibelai jari jemari cinta diri Minda terbuka hati lapang Kantuk di dada baringnya di bahu Puas menguap bibir bertuap Segar jiwa raga tidak kecanduan tenaga ABi 23.5.2020 TDI

Sajak - Api Yang Berang

 Api Yang Berang Setiap kali api marah Luluh lantak diterjangi Tanpa ehsan simpati Melanda gegas ganas Memarak hati cemas Menzahirkan irama trauma Memalitkan jelaga di jiwa Tercerang hitam arang Usah biarkan api berang Garangnya bukan calang-calang ABi 25.5.2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa Di bawah merupakan istilah-istilah baharu yang telah dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggantikan istilah-istilah dalam bahasa Inggeris.

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Di bawah merupakan istilah-istilah baharu yang telah dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggantikan istilah-istilah dalam bahasa Inggeris. Posting = Hantaran Dive site = Tapak Selam Flashmob = Aksi Rasa Kilas Breaking News = Berita Gempar Hightlight = Imej Tumpu Post Mortem = Pasca Nilai Back Drop = Latar Pentas Hotspot = Kawasan Khas Push Button = Butang Tekan Pick-up Line = Kata Pikat Trending = Sohor Kini Nap = Meridap Selepas ini tak perlu lagi gunakan perkataan Inggeris, sebab pihak DBP terus memperkenalkan perkataan baharu untuk pengguna. ABi 26.5.2020

Sajak - Segalanya Mungkin!

 Segalanya Mungkin! Melurut tiang, bumbung yang runtuh Bersila di lantai, dinding yang roboh Berbisik di telinga, bulu roma yang meremang Jika nasi sudah menjadi bubur Usahakan bubur itu supaya enak Jika berkerat rotan, berpatah arang Sambungkan dengan anduh kukuh Bak kaca terhempas ke batu Digam ditautkan bertambah kemas indah Mengarut ... Kelmarin tebu ditanam, hari ini sudah diketam Minggu lepas menyemai, hari ini menuai Pelik ... Luka di kaki balutnya di hati Lenguh di paha urutnya di kepala Mungkin... Pisang berbuah berkali-kali Cinta dari hati turun ke mata Cicak bertelurkan naga Gajah berenang terus terbang Cempedak menjadi nangka Dan nangka menjadi peria Jadikan akal yang bergeliga Jadikan hati dipagari bintang iman Jelapang emas orang yang punya Jangan dicuri disembunyi di sebalik jari Intan berkepuk di jambal orang Jangan dirampas dilonggok sampai ke alang Gelangnya besar dari lengan Anting-anting besar dari kuping Cincin beruntai bergumpal sebesar gasing Dirompak malinga...

Sedikit Pengetahuan Bahasa

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Face mask  (Penutup muka)   (Salah) Pelitup muka. (Betul) Merbahaya.     (Salah) Berbahaya.      (Betul) Marabahaya.   (Betul) Sayugia.           (Salah) Seyogia.           (Betul) Seyogia = sepatutnya, selayaknya Yogia = patut, padan, sesuai, wajar, baik Kerenah = perangai, tingkah laku, ragam Karenah = alamat, bukti, tanda  ABi 28.5.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah tu!!!

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Salah tu!!! Tempat meletak kereta. (salah) Tempat letak kereta. (betul) Tempat membasuh pinggan. (salah) Tempat basuh pinggan. (betul) Tempat membeli-belah. (salah) Tempat beli-belah. (betul) Pusat membeli-belah. (salah) Pusat beli-belah.  (betul) Tempat melancong. (salah) Tempat lancong. (betul) Tempat pelancong. (betul) Imbuhan 'me...meng...mem...' untuk kata kerja Saya merasa pening kepala. ( salah) Saya berasa pening kepala. (betul) Saya merasa marah. (salah) Saya berasa marah. (betul) Saya merasa air itu. (betul) Saya merasa dan menyentuh dinding itu. (betul) Imbuhan 'me...meng...mem...' untuk kata kerja Imbuhan 'be...ber...' untuk kata adjektif ABi....30.5.2020....TDI

Sajak - Muak

 Muak Derma  sumbangan pun dipolitik Sembahyang juga dipolitik Isu apa yang tidak dipolitik dalam politik Dibantu...komplen Tak dibantu...lagi panas komplen Ambil tindakan...dihentam Tak ambil tindakan...teruk kena hentam Kritik...senang Komplen...mudah Hentam...tak susah Maki...bertali-tali Bodek...bergolek-golek Politik makin getik Berpolitik kian mencekik Bikin ramai mencebik Itu konflik ini konflik Rakyat sudah jelik..pelik Perjuangan rakyat memberi mandat Tika mengundi hati rakyat dicandat Waktu menang rakyat dilagang Mandat diberi dicencang-cencang Jelak muak permainan politik memperkotak Politikus menikus di balik tembok bungkus Tungkus tanpa lumus hipokrasi bergugus Nusa berbusa berpemimpin leka angkara Politik hapak haprak negara parak Politik bapak, politik kakak, politik anak-anak... ....beranak-pinak. ABi TDI 31.5.2020

Sedikit Pengetahuan Bahasa BEZA SEBAB DAN KERANA

 Sedikit Pengetahuan Bahasa BEZA SEBAB DAN KERANA OLEH KERANA. (Salah) OLEH SEBAB. (Betul) Sebenarnya, perkataan "sebab" dan "kerana" berbeza dari segi golongan katanya. Perkataan "sebab" ialah kata nama, manakala perkataan "kerana" ialah kata hubung pancangan keterangan.  Perkataan "sebab" boleh dijadikan kata hubung dengan syarat disertakan kata sendi nama "oleh" untuk menjadi frasa sendi nama "oleh sebab" yang membawa maksud "kerana". Oleh itu, frasa yang betul ialah "oleh sebab" dan bukannya "oleh kerana".  Contohnya: 1a. Ayah tidak hadir ke pejabat kerana demam. (√) 1b. Ayah tidak hadir ke pejabat oleh kerana demam. (X) 1c. Ayah tidak hadir ke pejabat sebab demam. (X) 1d. Ayah tidak hadir ke pejabat oleh sebab demam. (√) 2a. Oleh sebab tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (√) 2b. Oleh kerana tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thail...

Sajak - Mukat

 Mukat Jangan buat mukat Jangan pi merata tempat Tok sah dok dekat-dekat Tok sah senerih rapat-rapat Virus senang melekat Penyakit takdak ubat Kut satgi PKP koi ketat Jenuh di rumah terkulat-kulat Terkernyih terkersin kelat Tak buleh pi mana macam ikan dalam belat Pusin pi pusin mai dok setempat Muka sembeb kemasai berkulat ABi HEP IPGKPP

Sedikit Pengetahuan Bahasa Kosa Kata Luas dan Menarik

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Kosa Kata Luas dan Menarik 1. Ironinya,Impak -Kesannya 2. Memorabilia -kenangan manis yg x dpt dilupakan. 3. Mutakhir ini, Marcapada ini, - Dewasa ini 4. Obses - terlalu terikut-ikut 5. Rencaman -Pelbagai 6. Wadah -Alat 7. Disemarakkan -digiatkan 8. Dijana -dijalankan 9. Memperkasa -meningkatkan 10. Kekangan -masalah 11. Kemelut -masalah 12. Glokal/lokal -peringkat tempatan 13. Global -peringkat dunia 14. Sarwajagat -peringkat antarabangsa 15. Dangkal -pengetahuan yg cetek 16. Arus Modenisasi -Zaman moden 17. Diuar-uarkan -diberitahu,dihebahkan 18. Rentetan itu, -Sehubungan itu 19. Sinergi -kerjasama 20. Kebejatan moral -keruntuhan moral 21. Ukhrawi -rohani (berkenaan akhirat) 22. Duniawi - berkenaan dunia 23. Nescaya -pasti 24. Enteng -ambil mudah/ringan 25. menerjah - (cth: menerjah masuk) 26. Remeh - (cth: dipandang remeh) 27. Diimplementasikan -digunakan 28. Nirmala -Hening (pagi yg hening) 29. Izhar -Jelas 30. Delinkuen -tidak mematuhi peraturan 31....

Sajak - Hajarul Aswad di Pangsa Durian?!

 Hajarul Aswad di Pangsa Durian?! Dicium dihidu berkali-berkali Bertalu-talu diusap duri-duri Walaupun tak mengerti ....nilai kualiti Diuli bagai Hajar Aswad di pangkal duri Aroma menggoda rasa Haruman hutan menerobos kota desa Sang pencinta durian menjadi tak keruan Tak sedar kempis dompet dek haruman ......dek kelembutan baldu gebu nyaman Raja buah yang megah Kadang-kadang eksklusif mewah Diangkat dijulang kalah emas tempawan Tetap menjadi idaman rebutan Rasa Khatulistiwa di tangkai Udang Merah Di pelipis Duri Hitam atau Raja Musang Berhenti di pinggir jalan  Merayap berkilat BMW, Ford Mustang Atau kapcai berasap cekang Kerana godaan isi terserlah merekah Kuning aiskrim atau perang kemerah-nerah Penangan raja segala buah.... ABI Pinggir Bakar Arang 7.6.2020

Sajak - Ego Kikirku

 Ego Kikirku Aku jumpa kamu di tepi tembok kiosk itu Aku berlalu bagai tak  nampak kelibatmu Tika mengundur kereta Tiba-tiba aku terpandang monitor di papan pemuka  Aku menghampiri sisimu .... Pak cik saya lapar Kelopak matamu bergenang Sayu di sebalik kopiah kusam usang Kubuka dompet Wang kertas lima puluh Dan lima ringgit sahaja Aku serah lima cuma Diramas tanganku dicium lama-lama Air mata kamu berjurai membasahi gengaman Teringat aku pulut udang di kereta Kamu menyambut dua biji pulut udang panas dengan mata tertancap padaku sayu Aku berlalu pergi dengan fikir bersimponggang .......ehhhh mengapa lima                     kenapa tidak lima puluh Kuputar stereng berpatah balik Dan pemuda itu sudah tiada kelibatnya Yang ada plastik lusuh tinggalannya Aku terlongo di papan pemuka... ....masih ada kikir di hati fakirku ....Monologku berkonflik                 Hatiku terjentik ABI 9.6.2...

Yayasan Fitnah

 Yayasan Fitnah Lasykar papan kekunci mencari nafkah Menabur isu memuntahkan darah serakah Di sebalik tembok yayasan kukuh dan gah Di balik tirai baldu semu keras palsu Melontar melempar di tetuang media maya Republik kapitalis materialis Mengikis nilai akhlak dan moralis Matlamat menghalalkan cara Akhlak diri menjadi rapuh dan murah harga Asalkan cinta dunia naik ke mata ke kepala Benarkah perjuangan demi agama? Betulkah untuk bangsa? Keadilan untuk rakyat jelata? Atau wayang di pentas opera Berdalang lakonan cereka semata Konflik yang dibuat auta penuh drama sandiwara Di hadapan anak negeri Di lapangan entah berantah Dalam hujan hunjaman anak panah fitnah Yayasan fitnah menjana ruah di republik fitnah kian dijarah ABI 10.6.2020

Sajak - Bicara Sensitif

 Bicara Sensitif Lahap nafsu di hamparan hati rakyat Lahap makan di talam marhaen masyarakat Melahap minum di cangkir komuniti Sikap pelahap kian mengejap Nafsu pelahap kian menyirap Gunungan menjadi rata melandai Timbunan menjadi kawah lahar Limpahan bertukar kontang kekeringan Erti lapar hilang di kamus minda Maksud kesusahan tiada di kotak jiwa Di caruk Pak Ngah Awang menyauk udang Kerana sekerapnya tiada harga Di permatang Pak Teh Daud meramu keman Kerana padi yang ada cukup-cukup makan Di hujung bandar Vellu mengutip tin minuman Kerana gaji jaga tak cukup untuk sewaan Tapi bicara pak menteri... Katanya rakyat sekarang selesa Naiklah harga tenaga, harga segala Maka naik harga nada suara Kerana lupa harga sengsara Kerana tilam peraduannya empuk Dilapik kertas ringgit baldu gajinya Lampu neon menghiasi istananya Lembut anjal alas singgahsananya Hasilnya lupa janji lupa diri Manifesto terjeruk di bingkai retorik Demi negara yang tercinta Kucurahkan bakti setia Menjadi sisa di lida...

Sajak - Duri Hijau, Udang Merah

 Duri Hijau, Udang Merah Apek berseluar pendek Bersinglet putih bertopi sayur Di depannya berlonggok harum raja buah "Apek Duri Hijau satu" "Makan sini" ......"siap boss" Apek tekun mengopek Ulas menguning kehijauan Semerbak haruman menerpa hidung kami Tak sabar menanti Bingkas tangan-tangan pantas mencekau ulas Dilulur gebu lemak manis pecah di mulut Ulas demi ulas dilelas Nikmat tak terbatas "Ayaq botoi free"...kata apek dengan bersahaja "Apek Udang Merah satu" "Apek D12 satu" ......" Ok boss" Apek mengupas dan kupas Senyum sampai ke telinga Senangnya dia berniaga "Apek bungkus bawa balik lima biji... "Saya empat biji...bungkus" "Saya enam biji...tolong kupas" "Buleh boss"....jawab apek itu. "Boss punya pasai sekilo lapan belaih, harga kawan loo.... Orang lain dua puluh lima loo" "Wa potong lagi satu linggit....kawan maa" Berbondong durian di bonet  Bau menyesa...

Sajak - Rezeki Traktor

 Rezeki Traktor Serkap ikan belakang trekta Keleboq bertamboq naik muka Ruan, puyu, keli, sepat benua ada belaka Kadang-kadang macam pesta Aloq kubang depa latam melata Ulaq tanah, ulaq gundi buruk peduli apa Belemoih badan sampai tak sangga Rata lubang depa seluk depa hanggau segala Jenih dahagi tak takut apa-apa Kaki tangan bebekaih berkelaraih Rehat sat ataih ban ataih bataih Ikan penuh uncang rasa puaih Dapat belut pun depa balaih Tak sedaq dok ralit lintah kerbau ketit  Tarik liat licin pakai kayu penyepit Darah meleleh ayaq temakau dicalit Tak peduli lanyau penuh berpalit Sambung serkap dapat berkampit Bantut tangaih makan nasik panaih-panaih Pekasam lampam masin-masin masam Gulai puyu ubi kemili, goreng garing ikan keli Paih balut daun pisang nasik berpinggan habih Orang tua lalu takdan beralih takdan kelih Nekmat kampung dengan trekta dan kebota Mesin padi pun banyak cereta suka  Ikan di celah putaq di celah taya Buat makan buat menega Rezeki tang mana pun dok ada...

Sajak - Melah Tonggek

 Melah Tonggek Jalannya tertonggek-tonggek Gadis sunti tergedik-gedik getik Mengada-ngada pelik Hingus meleleh sampai ke bibir Berbaur aiskrim Malaysia dinyonyot Kekadang dilap direlas sepanjang lengan Geli... Rambutnya sergum berpintal keriting kusut masai bagai dawai bepintal-pintal Berbau hanyir hapak bergumpal Mandi kerbau di tali air depan rumah Berkemban terjun menyelam terkinja-kinja Terkekeh-kekeh ketawa bagai mengilai Itu Ramlah dua puluh tahun dahulu Kini dia di gedung tinggi kota raya Peneraju syarikat gergasi berjaya Tonggeknya sudah tak nampak, tidak jelak Bertudung labuh terlitup letak Jalannya santun raut putih melepak Lesung pipit kiri kanan ayu terletak Tutur kata lembut berakhlak Punya pacar dari hulu Perak Melah tak lupa ibu bapa Tak lupa kubang dan paya Tahu usul asalnya Kampung Bukit Raya Sudah pindah ke Kota Damansara Punya rumah, punya kereta. ABI Penghulu Him 17.6.2020

Sajak - Suci dan Menyucikan

 Suci dan Menyucikan Tak sedar Fitnah bersepah meluluh Lebih dahsyat dari membunuh Umpat berselepat Hukumnya lebih dahsyat Anggap diri tersuci Senang kata orang anjing, babi Telunjuk menunjuk Dirujuk hati, akal mati Mudah tuduh munafik Rasa diri amat Islamik Anggap diri hebat Orang lain keparat Melantun darjat Melontar kaifiat Ini haram, itu haram Semua dihentam Ikut geram, hati kelam Mudahnya kalam Mudahnya menghukum Iman tak terjelum Warak pada ilmu dan amal Akhlak pada kelaku sosial halal Tawaduk tidak dijual beli Terpancar dari jujur hati “Lakum Dii Nukum Wa Liya Diin”  ABI Ipoh 19.6.2020

Sajak - Ustazah Rodziah

 Ustazah Rodziah Melakar senyum di jendela pagi Melangkah atur dari naluri puri Melantun bicara di kelas-kelas Mengalun lontaran suara ikhlas Mencuar dari sudut-sudut kelas Menolak gangguan rimas culas Menyantuni anak-anak didik Bertalaqi bertadabur diatur Dari tauhid ke ubudiyah sahsiah Islah dan tajdid diorak langkah Fiqah dikisar direneh berolah  Menjadi nyanyian dendangan usrah Menyerap nano rasa menjadi sirna Kata-katamu hikmat seribu tahun Menuntun jiwa mekar berpohon Menyemai membelai insaniah Biar diri menyimpan resah Luka yang tidak terasa Menitis darah yang tiada warna Bagai jeritan tanpa tona suara Tangisan dalam senyum ketawa Esakan sedu menjadi puisi cinta Disimpan kejap kisah duka lara Untuk putera puteri bangsa Rela meluah bahagia Meneguk duka nestapa Berpaksikan Sang Pencipta dan agama Pada Sang Kekasih diserahkan jiwa dan raga Nawaitu jitu di lubuk kalbu Mencangkih kalam ilmu Senyum munggilmu padu Di perdu hati anak-anak itu Ustazah Rodziah Umpama pelita nan s...

Selamat Hari Bapa Ayahanda Ishak Bin Taib (Kudendangkan puisi untukmu

 Selamat Hari Bapa Ayahanda Ishak Bin Taib (Kudendangkan puisi untukmu

Sajak - Selamat Hari Bapa Ayahanda Ishak Bin Taib (Kudendangkan puisi untukmu

 Selamat Hari Bapa Ayahanda Ishak Bin Taib (Kudendangkan puisi untukmu) Menenggala, menyisir sawah Meramu rumput di bendang Menghempas kedap di tong padi Mengirai mengangin sekam Mengejar ayam di tepi-tepi kampung Memboncengkan kambing untuk dijual Mengurus sembelihan lembu kerbau Menukang rumah dan masjid Segala kerja rencam Ayah lakukan Bajumu tak kering Peluhmu masin Kulitmu hitam gelap di terik mentari Urat-uratmu timbul dirusuh tenaga Rambutmu kusam disapa udara hangat Kamu lirih tersenyum Walaupun  kesusahan itu pakaianmu Getar ketawamu kecil Walaupun keperitan hidup itu selimutmu Tanpa tilam empuk Tidurmu mengerikut di tikar mengkuang Amarahmu tidak seperti halilintar Tapi mengguntur rasa Sinismu tidak setajam mata pedang Tapi menyembilu hati Kamu idolaku tokoh di mataku Biar bukan pujangga terdendang Aku nyanyikan namamu di hati Meskipun suaramu Tak semerdu nyanyian lembut seorang ibu Kau membingkaiku dengan nada-nada ketulusan Yang menghantarkan hatiku Menuju lembah t...

Sajak - Cium

 Cium Dicungkil celah-celah gigi Diangkat, ditenung Dicium Ahhh busuk Disapu-sapu ketiak Dilihat telapak, direnung Dicium Ahhh busuk Tabiat manusia memang macam tu Kalau tidak....tidak tahu wangi atau busuk. ABI 22.6.2020

Sajak - Roti Empat Sagi

 Roti Empat Sagi Aroma kopi o menerobos udara Menyelinap dan hinggap di hidung Mengharum.... Dipatahkam roti empat sagi Dicelup ke secawan kopi o panas Pecah dan cair di mulut Merasa nikmatnya melintasi kerongkong Patahkan lagi dikembar dua keping Dicelup lagi Oppps patah lembut melembik Tertinggal di dalam cawan Dicelup jari dikaut Ditelan... Ahhh nikmat.. Secawan kopi dan biskut kering Nikmat itu santapan rohani ABI TDI..24062020

Sajak - Singkil Gigi

 Singkil Gigi Ngilu nyeri di gigi Seramnya sampai ke tulang cenonet Berceracak bulu roma Meremang berbintil kulit Berkeriut bunyi Singkil tergigil Menyelinap meriding ke pundak Silu menyilu tersentap rahang Kemasaman asam Menusuk seriyau gigi Menyentap saraf Menyerap di neuron otak Terkancing terketap gigi ABI Pasir Belanda

Sajak - Pujuk Hati

 Pujuk Hati Karam di pantai hati Rajuk dibawa ke lubuk dada Air mata tumpah di kolam kalbu Tertebak di pasir rindu Dilurut lara mengempang sedih yang cair Mengusap bahagia yang berjingga Membelai sayang menopang cinta Diraut dilarik menjadi tugu harapan Tidak lerai menjadi puing-puing kecundang Monumen ghaib terbina di jiwa Terpasak semula... ABI Alur Selut 28.6.2020

Sedikit Catatan Tentang Pemikiran

 Sedikit Catatan Tentang Pemikiran Orang Melayu Islam mesti menilai semula diri kita. Kita perlu ada anjakan paradigma Islam. Perlu berubah pemikiran dan sikap. Memang mengambil masa. Mungkin panjang dan menjerihkan. Tapi mesti mula bergerak. Sederap untuk mantap. Membina tamadun yang hebat berlandaskan agama dan nilai moral serta akhlak Islam sejati. Jika selama ini kita selalu menuding mencari salah orang untuk sembunyi kelemahan atau kesalahan sendiri. Membesar-besarkan kesalahan orang untuk menampakkan kehebatan atau kekuatan diri.  Kadang-kadang memutarbelitkan fakta. Bertubi-tubi kita muntahkan peluru menyalahkan orang lain atau mendendangkan kelemahan orang lain di media perdana atau media sosial saban masa. Kuman seberang laut nampak, gajah di pinggir mata tak terlihat. Mari kita mencari jalan yang pramagtik untuk membaiki kelemahan. Cerdik pandai Melayu sudah pasti mempunyai idea yang bernas dan jitu untuk mencari jalan keluar daripada kepompong lama kita. Jangan meng...

Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Beza Jarang dengan Jarang-jarang +++Jarang maksudnya  > tidak rapat, renggang, bersela-sela, tidak padat .. Gigi orang itu semakin jarang. Dia suka memakai kain yang jarang. Lelaki itu berambut jarang. Pasangan itu berusaha menjarangkan kelahiran anak. +++Jarang-jarang maksudnya  > tidak kerap, tidak sering, tidak acap … Jarang-jarang terjadi kemalangan seperti itu. Abang jarang-jarang balik bercuti sejak akhir-akhir ini. JADI amatlah salah kalau ayat ditulis begini:- Dia jarang pergi ke masjid. Bini Ali suka memakai kain yang  jarang-jarang. ABI TDI 3.7.2020

Sedikit catatan pemikiran Kemelut Telefon Pintar

 Sedikit catatan pemikiran Kemelut Telefon Pintar Kita sanggup berpatah balik untuk mengambil telefon pintar walaupun jauh. Hal ini menggambarkan betapa pentingnya telefon pintar kepada kita. Sama ada Antonio Meucci  atau Alexander Graham Bell pencipta pertama telefon tidak kisah tapi inovasi mereka sangat hebat untuk penduduk dunia. Begitu juga  Martin Cooper pencipta telefon bimbit pertama dunia dan pada tahun 1993 tercipta telefon pintar dunia yang bernama IBM Simon. Semenjak itu telefon pintar berkembang pantas bagai virus Covid-19. Di ceruk kampung pedalaman mahupun di kota-kota metropolitan, di gerai tepi jalan atau di restoran mewah semua orang sibuk terkais- kais skrin pemuka telefon walaupun ramai duduk semeja. Yang tua, yang muda wahima yang kanak-kanak macam dilanda fenomena. Kita seperti di dunia sendiri. Adakah telefon menjarah pemikiran / sikap kita? Atau kita yang menjarah diri sendiri? Sebagai tamsilan, sebilah pisau, jika digunakan untuk memotong sesuatu ...

Sedikit Pengetahuan Bahasa

 Sedikit Pengetahuan Bahasa ++ Sentiasa dan senantiasa (sama maksud / dua-dua betul. ++ Jika ,  kalau , jikalau (sama maksud / tiga-tiga betul) ++ Dahulu, Dulu ++ Sahaja, saja Kesimpulannya perkataan 'dulu' & 'saja' adalah singkatan kepada perkataan 'dahulu' & 'sahaja'.  Cara menggunakan keempat-empat perkataan tersebut bergantung kepada ayat.  Perkataan 'dulu' & 'saja' digunakan ketika dialog. Manakala perkataan 'dahulu' & 'sahaja' digunakan dalam ayat penyata atau secara rasmi. ABI TDI...6.7.2020

Sedikit Catatan Pemikiran (Sambungan) Dilema Emak Ayah

 Sedikit Catatan Pemikiran (Sambungan) Dilema Emak Ayah Kata Prof. Daniel Gilbert yang disokong oleh Prof. Atan Long, psikologi ibu bapa ialah cerminan kepada anak-anak. Namun, kenyataan itu tidak mutlak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, Ke mana kuah tumpah kalau tak ke nasi, peribahasa yang acap kali kita dengar dan hampir semua orang tahu maksudnya. Bukan semua faktor berpunca daripada ibu bapa atau keluarga. Dilema emak ayah terhadap anak-anak bermula dari kandungan hinggalah ke dewasa malah sampai ke akhir hayat anak-anaknya. Yang paling kompleks adalah pada masa anak-anak dalam alam remaja. Dari segi pendidikan dan sahsiah sangat perlu diberi tumpuan bagai menating / menatang minyak yang penuh. Pendidikan agama, nilai-nilai kehidupan, psikologi  tidak dapat diketepikan dalam mendidik anak-anak remaja. Namun, dewasa ini pengaruh dari dalam dan luar memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan remaja. Catatan saya hari ini ingin fokus kepada pengaruh media masa elektroni...

Sedikit Catatan Pemikiran Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

 Sedikit Catatan Pemikiran Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kemaruk orang kita jelas ketara. Pergilah ke gerai, restoran atau mana-mana kedai makan, penuh pelanggan. Hujung minggu tempat-tempat pelancongan kian meriah. Jalan raya sudah sesak.  Aktiviti kehidupan kembali seperti biasa.  Norma baharu kelihatan kian ditinggalkan. Makin kembali ke norma asal.  Penularan Covid-19 di Malaysia dapat dikekang walaupun tidak seratus peratus. Syabas, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, polis, tentera dan pihak- pihak yang terlibat secara langsung atau tidak. Syabas juga kepada rakyat Malaysia.  Namun, norma baharu yang dicanang semakin meninggalkan landasan. Paling ketara, ramai yang tidak memakai pelitup muka di khalayak. Penjarakan sosial pun kian longgar. Senitizer juga jarang disapu di tangan. Sesetengah premis, pelanggan sendiri yang mengambil suhu. Ada yang langsung tidak menulis maklumat atau suhu badan.  Yang tidak menyenangkan, ...

Sedikit Catatan Pemikiran Kita Hebat / Kita Juara

 Sedikit Catatan Pemikiran Kita Hebat / Kita Juara Tipu, kalau kita tidak mahu menjadi hebat. Bagaimana?... 1. Jika kita dapat melawan malas. Contoh malas sembahyang, malas bangun awal. Malas bertindak segera. Malas membaca. Malas bekerja. Kita melawan malas itu. Pasti kita hebat. 2. Jika kita dapat melawan ego /  sombong. Contoh sombong kerana kepandaian. Sombong kerana kekayaan. Sombong kerana kecantikan. Sombong kerana pangkat. Kita lawan ego, kikis sombong. Pasti membawa berkat. 3. Jika kita dapat melawan amarah / marah. Contoh marah kerana ditipu, dibuli atau memang tiba-tiba baran. Kita turunkan suhu kemarahan pasti kita kuat. Proses menurunkan kemalasan, keegoaan dan kemarahan itulah jawapan kehebatan kita. Kalau hal ini berlaku ditambah dengan nilai-nilai keagamaan yang jitu. kita memang manusia hebat berdarjat. ABI...10.7.2020 TDI

Sedikit Pengetahuan Bahasa Keliru Ejaan

 Sedikit Pengetahuan Bahasa Keliru Ejaan SALAH  - BETUL Mertua - Mentua Atlit - Atlet Audien - Audiens Baucer - Baucar Buffet - Bufet Bumiputra -  Bumiputera Emel - E-mel Faksmili - Faksmile Garfu - Garpu InsyaAllah - Insya-Allah Karenah - Kerenah Kontigen - Kontijen Korum - Kuorum Lagenda - Legenda Losyen - Losen Pengembala - Penggembala Pensil - Pensel Redha - Reda Silaturrahim - Silaturahim Stokin - Stoking Sunnah - Sunah ABI Teluk Kumbar 11.7.2020

Sajak -. Tolonglah

 Tolonglah Wahai ahli parlimen... Sudah-sudahlah berpolitik Bincanglah Bertindaklah Untuk rakyat Di sebalik pandemik  Buang polemik Tinggalkan konflik Harga barang Gulung tikar  Buang kerja Bermacam peri Rakyat hadapi Rakyat sesak Rakyat jelak Usah bercengkarama di parlimen Usah berdrama sentimen Pakcik di Padang Sanai Paklong di felda dekat Senai Acik Lahad Datu, Apai di Bintulu Fikir hidup termangu Tolonglah... ABI Ambangan Height 1272020

Sedikit Catatan Pemikiran Mabuk

 Sedikit Catatan Pemikiran Mabuk Pasti banyak yang bersetuju jika pemabuk yang menyebabkan kemalangan atau kematian mendapat hukuman keras kerana sikap dan perbuatan mereka. Alkohol merosakkan kita. Begitu juga pencandu madat atau penagih dadah. Patut menerima hukuman yang setimpal jika mereka menyebabkan kecelakaan jalan raya atau masalah yang lain. Pemuja dan peminum ketum lalok tegar juga tdak patut diketepikan Apatah lagi pembuli di jalan raya. Mereka mesti dihukum dengan hukuman berat. Mereka sengaja mencetuskan konflik atau provokasi. Mat Rempit yang sengaja mengundang bahaya mesti dihukum selayaknya. Tidak mahu isu ini menjadi isu retorik politik atau menjadi topik yang dicanang tanpa diambil tindakan berkesan. Tidak mahu menjadi menjadi isu bermusim yang disenandungkan melalui media waima di meja-meja kedai kopi. Harapan kita, undang-undang dan peraturan tentang hal ini menjadi kenyataan dan dikuatkuasakan. Tidak sekadar menjadi irama tin kosong. Agar rakyat kita menjadi be...